“ Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya ..” ( Riwayat At-Tirmidzi)

Followers

Follower yang ke -100 Syed Azaharul

Tuesday, November 2, 2010

Kekang nafsu 'gelap'

Oleh : Ust.Zaharuddin Abd Rahman

BAGAIMANA cara menghentikan ketagihan terhadap nafsu dalam diri termasuk nafsu amarah, seks serta yang membawa kepada kemungkaran buat selama-selamanya dan bagaimana pula untuk dapatkan taubat sebenar-benarnya.

Sifat nafsu amarah memang sentiasa mengajak kepada dosa, di mana kegagalan mengawal nafsu syahwat bagi majoriti manusia adalah satu lumrah.

Bagaimanapun, dalam kehidupan ada segelintir yang mampu mengekang nafsu mereka hasil ‘mujahadah’ atau usaha kuat untuk menghindari, sekali gus menghentikannya. Namun, ada kalanya mereka yang mampu mengawal juga tertewas.

Allah SWT menyebut perihal kegagalan manusia dalam mengekang nafsu, sebagai contoh dalam surah Al-Baqarah, ayat 187 yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu.”

Melalui ayat ini, sebahagian umat Islam gagal mengikat nafsu syahwat kelaminnya hingga ‘bersama’ isterinya di siang Ramadan.

Dengan segala kelemahan manusia, Allah SWT membenarkan suami isteri untuk bersama di malam hari Ramadan, namun masih ada juga yang ‘terlepas’ melakukannya di siang hari, oleh itu Islam menetapkan cara dendanya.

Kifarah adalah satu bentuk denda dan apabila seseorang melakukan dosa, taubat adalah jalannya.

Allah SWT menegaskan bahawasanya: “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi Rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf, 53)

Persoalan yang timbul ialah, bagaimana mengekang nafsu yang ada dalam diri.
Ringkasnya, saya ingin mengingatkan individu yang menulis soalan ini bahawa mengekang dan melawan kehendak nafsu syahwat sememangnya bukan mudah.

Itulah sifat ‘peperiksaan’ yang diberi oleh Allah SWT bagi ‘menapis’ dan mengenal pasti hamba-Nya yang bersungguh-sungguh, ikhlas dan beriman serta yang kurang dan tidak beriman. Bagi yang berjaya, ganjarannya sudah tentu sangat hebat, yakni di Syurga Allah SWT.

Justeru, kita tidak perlu mengeluh dan hairan dengan ketagihan nafsu, kedegilannya, kesukaran menanganinya dan mengawalnya.

Sebaliknya, yang perlu dilakukan adalah mengukuhkan azam untuk berubah. Ia sukar untuk diajar melalui tulisan, tetapi kesedaran dan keinginan inilah yang perlu untuk bertindak.

Caranya, kenali sumber serta punca yang mampu membiakkan ‘kekuatan’ terhadap nafsu itu, dan sebaik dikenal pasti, potong dan hapuskan ia.

Selain itu, kita perlu tahu cara, suasana, tempat dan berdamping dengan individu yang dapat menarik diri kita kepada kebaikan dan lupakan syahwat.

Kesimpulannya, proses ini memang memerlukan ‘pantang larang’ yang merujuk kepada perkara yang tidak boleh dibuat dan ‘kemestian’ yang merujuk kepada perkara yang perlu dibuat.

Ia proses ‘Sunnatullah’ untuk segala jenis penyembuhan, sama ada hati dan iman berbentuk spiritual dan juga tubuh fizikal.

Ini sama seperti menangani penyakit kencing manis daripada sudut konsepnya, di mana mereka perlu menghadapi cabaran mengawal nafsu makan yang tinggi dan terhalang daripada menikmati juadah lazat.

Jadi jelas di sini, pantang larang ini perlu dilakukan secara terpaksa itulah satu mujahadah (usaha).

Oleh itu, cuba fikirkan, bagaimana pantang larang ini akhirnya mampu dipupuk serta diikuti dan itulah satu jalan permulaan untuk mengawal nafsu dalam diri.

Ini sama bagi mengekang nafsu syahwat seks ‘gelap’, di mana setiap umat Islam perlu meyakini bahawa setiap perbuatan itu kelak pasti diazab oleh Allah SWT dengan mengingatkan bahawa adanya azab neraka, azab kubur, mati dalam kehinaan (suul khatimah) atau dalam kemaksiatan, tidak memperoleh Rahmat Allah atau tiada peruntukan syafaat daripada Rasulullah SAW.

Memang benar, implikasi buruk ini semuanya berupa hal ghaib, namun bukan itu saja, ada banyak pula implikasi buruk di dunia yang mesti disenaraikan di dalam minda dan hati seperti, ia mungkin membawa kepada perceraian, pasangan zina mengandung anak luar nikah yang akhirnya boleh membawa kepada pembunuhan terhadap anak luar nikah berkenaan bagi menutup aib, kejian masyarakat atau dijangkiti penyakit kelamin seperti AIDS.

Disebabkan itu, tanam semua implikasi berbentuk spiritual itu dalam minda dengan harapan ‘nyalaan’ nafsu itu tadi dapat ditangani.

Sehubungan itu, tentu proses pertama untuk mengekang nafsu syahwat seks ‘gelap’ adalah dengan meningkatkan ilmu dan keyakinan terhadap kedua-dua ilmu, ghaib dan fizikal, iaitu kesan buruknya.

Insya-Allah, ia akan mampu menjadi pendinding awal sebelum berlakunya dosa dorongan syahwat nafsu itu.

Orang berilmu juga ramai yang menyeleweng?
Tidak dinafikan, ramai juga yang sudah punyai ilmu tetapi masih ‘jatuh’ dan terlanjur melakukan maksiat sama ada secara serius atau tidak, besar atau kecil.

Tatkala itu, datanglah fungsi taubat yang disebut oleh Allah SWT di atas.

Berbekalkan kefahaman dan asas yang sudah ada, usaha mengukuh dan menyuburkan kembali keimanan lebih mudah daripada individu yang tiada asas dan pasak kukuh.

Kerana itu, binalah pasak dalam diri mengenai iman dan ilmu dengan segera terlebih dulu kerana tanpanya, perubahan kepada kebaikan akan terbantut di suku perjalanan.

Sebagai kesimpulan, sebagai tambahan kepada penjelasan di atas, ada perlu mengetahui perkara yang perlu serta tidak perlu dilakukan seperti:

# Fikirkan sasaran kehidupan dan berusaha melaksanakannya. Jauhkan pemikiran berkenaan seks dan penuhkan masa dengan berusaha mencapai sasaran itu.
# Wujudkan keyakinan bahawa Allah SWT melihat apa yang dilakukan di ketika ramai mahupun kala sendirian.
# Sedarkan diri bahawa malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang dilakukan.
# Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.
# Putuskan hubungan ‘songsang’ dan ‘gelap’ sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperoleh melalui Internet atau fizikal, melalui laman sembang, e-mel, web dan sebagainya. Jika berseorangan di depan komputer boleh menyebabkan pemikiran syahwat naik, elak berseorangan di depan komputer.

Jika berbual mesra dan makan tengah hari bersama rakan sekerja lain jantina itu puncanya, elak melakukannya dan makan sendirian atau bersama jantina yang sama.

# Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.
# Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan keagamaan kerana dengannya, ia membuka ruang mendapat rakan yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat dapat dibendung.
# Ziarah kubur secara kerap supaya syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian.
# Kalau komputer dan Internet kerap menjadi punca peningkatan syahwat, banyakkan mendengar bacaan al-Quran di depan komputer. Insya-Allah, dengannya rasa malu akan timbul. Namun jika syahwat masih ‘menggila,’ segera berhenti dan lihatlah awan, langit, pokok dan laut dan ingatkan kebesaran Allah.
# Memastikan harta diperoleh daripada sumber halal kerana sumber haram menambah perisa syahwat kepada yang lebih kuat dan dahsyat. Ia ibarat mutasi virus yang lebih berbahaya kepada kesihatan.
# Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisiplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa sebanyak mungkin ketika sujud di dalam solat supaya diberi kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.
# Segera beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat berat sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Imran, bahawasanya: “... dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertakwa.”

Artikel dari : Hmetro.com.my

No comments:

Jaamiah Al-Azhar As-Syarif


Copy this code to your website to display this banner!