“ Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya ..” ( Riwayat At-Tirmidzi)

Followers

Follower yang ke -100 Syed Azaharul

Wednesday, November 17, 2010

Konsep Penentuan Awal Bulan Islam Dan Hari Kebesaran Islam Di Malaysia

Oleh : Bahagian Falak Syar'ie, Jabatan Mufti Negeri Selangor

1. PENDAHULUAN

Penentuan awal bulan Hijriah yang digunakan oleh umat Islam khasnya dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah adalah berdasarkan kepada pergerakan bulan dan bumi mengelilingi matahari.

Ia menjadi asas perhitungan awal bulan dan tahun yang mempunyai hubungkait yang rapat dengan ibadah puasa, hari raya dan hari raya korban.

Berdasarkan pedoman yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis dan juga pendapat ulama daripada kitab-kitab muktabar, lahir tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan ramadhan, Syawal, dan Zulhijjah dengan kaedah berikut:-

a) Rukyah ( melihat anak bulan ) semata-mata.

b) Hisab Falak semata-mata.

c) Rukyah dan Hisab dengan menggunakan criteria imkanur-rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan ( Hilal ).

Wujudnya perbezaan amalan dan cara di atas, adalah daripada perbezaan dalam memahami dan mentafsir maksud ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang berkaitan.Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan cara penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah.

Tujuan penulisan ini adalah untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai cara penentuan awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah yang di amalkan di Malaysia dan asas-asas yang digunakan dalam melaksanakan kaedah tersebut.

2. DALIL-DALIL SYARAK MENGENAI PENENTUAN AWAL BULAN RAMADHAN, SYAWAL DAN ZULHIJJAH.

Nas Al-Quran dan Hadis banyak menerangkan panduan menentukan awal bulan atau waktu-waktu terutama dalam melaksanakan ibadat.

a) Firman Allah SW.T Surah Al-Baqarah ayat 189:

Maksudnya:

"Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit.Katakanlah bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan bagi ibadah haji......."

Hadis Rasulullah S.A.W. diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Bukhari:

Maksudnya:

"Berpuasalah kamu kerana melihat Hilal dan berbukalah kamu kerana kamu melihat Hilal.Bila Hilal tertutup atasmu, maka sempurnakanlah bilangan bulan Syaaban tiga puluh".

Pendapat Ulama' Daripada Kitab-kitab Muktabar.

Daripada Kitab Bidayatul Mujtahid dari Juzuk pertama
( muka surat 242-243 ).

Maksudnya:

"Bila Hilal ditutupi awan, maka ia kembali kepada Hisab yang berdasarkan bulan dan matahari, itulah mazhabnya Muttarraf Bin Suhair, beliau termasuk ulama' besar tabi'in dan Ibnu Suraj bercerita daripada Imam Syafie bahawa Imam Syafie berkata; orang yang mazhabnya itu mengambil pedoman dengan bintang-bintang dan kedudukan bulan kemudian jelas baginya menurut dalil tersebut, bahawa bulan telah boleh dilihat tetapi tertutup oleh awan, maka orang tersebut boleh melaksanakan puasa dan cukuplah baginya".

Berdasarkan dalil-dalil Al-quran, Hadis dan pendapat ulama' serta kajian astronomi moden, penyelesaian jalan tengah dengan cara rukyah dan hisab adalah menjadi pilihan untuk diamalkan di Malaysia kerana ia lebih hampir kepada kehendak syarak.

3. FAKTOR PERSELISIHAN

3.1) Punca-punca perselisihan berlaku dari segelintir rakyat Malaysia yang dikenali dengan kumpulan Islah.Golongan tersebut tidak menerima pengisytiharan rasmi Hari Raya Korban Kerajaan Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia pada tahun 2000 dan 2001 Miladiah yang lalu.Golongan tersebut menyambut Hari Raya Korban berdasarkan pengisytiharan Wukuf di Padang Arafah oleh Kerajaan Arab Saudi.

3.2) Perselisihanjuga berlaku kerana terdapat kekeliruan pendapat pada 9 Zulhijjah (Hari Wukuf), sunat berpuasa pada hari tersebut dan ganjaran pahalanya sama dengan setahun beribadah. Kebanyakan rakyat malaysia terkeliru dan tidak mengetahui kaedah dan syarat-syarat penetapan awal bulan Zulhijjah yang digunakan oleh Kerajaan Arab Saudi.



4. RASIONAL DARI SUDUT MATLAK ( TEMPAT TERBIT ) DI MALAYSIA.

4.1) Kerajaan Arab Saudi menggunakan matlak dengan kaedah rukyah semata-mata, terbuka kepada semua rakyatnya.Sesiapa yang melihat Hilal Zulhijjah boleh melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab atau berkuasa dengan saksi.

Kerajaan Malaysia menetapkan awal bulan Zulhijjah dengan menggunakan kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah dengan mengambil kira matlak negara-negara MABIMS.Pada 29 Zulkaedah semua tempat cerapan rasmi sebanyak 26 tempat di seluruh Malaysia akan dicerap oleh Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan dengan menggunakan peralatan moden seperti teleskop digital dan teodolit.

4.2) Terdapat perbezaan matlak yang jauh diantara Malaysia dan Arab Saudi. Perbezaan waktu antara kedua-dua negara ialah lima jam. Oleh itu ketika Hilal dilihat di Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut berada pada kedudukan 1.25° lebih tinggi di Matla' Malaysia.

4.3) Bagi rakyat negara Malaysia yang bermazhab Syafie, mereka perlu memahami bahawa setiap negara di dunia ini mempunyai matla' atau kawasan lingkungannya sendiri. Oleh itu Malaysia tidak harus mengikut keputusan cerapan hilal yang dilaksanakan oleh Arab Saudi.



5. HUKUM PUASA DAN MAKLUMAT YANG BERKAITAN

Umumnya, masyarakt Islam mengetahui adanya puasa sunat pada hari Arafah. Puasa ini sunat dilakukan oleh mereka yang tidak mengerjakan haji. Pelakunya dijanjikan dengan ganjaran yang besar sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.

Daripada Abi Qatadah yang berbunyi :-

Maksudnya:

Daripada Abi Qatadah bahawa Nabi S.A.W. ditanya mengenai puasa pada hari Arafah. Banginda menjawab : Ia menghapuskan dosa yang dikerjakan pada tahun yang lalu dan tahun yang akan datang.

(Riwayat Muslim)

Sekiranya diteliti, hadis di atas dan dalil yang lain menerangkan kelebihan mereka yang berpuasa pada hari Arafah. Namun demikian, kita perlu mengetahui pada waktu bilakah umat Islam di Malaysia dan Arab Saudi dan juga perbezaan matla'. Kita perlu memilih sama ada berpuasa pada hari Arafah sebenar di Arab Saudi atau mengikut takwin sebenar kita di Malaysia. Hukum berpuasa pada salah satu hari tersebut tetap sah.

Faktor kedudukan geografi dan kesesuaian negara Malaysia menentukan setiap awal bulan Islam dengan menggunakan kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kreteria Imkanur rukyah adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian. Konsep penentukan awal bulan Islam adalah berdasarkan kaedah jangkaan kenampakan anak bulan atau Imkanur rukyah yang mengikut syarat berikut :-

Ketika matahari terbenam.

a) Ketinggian (altitud) bulan tidak kurang daripada 2°

Dan

b) Jarak lengkok matahari tidak kurang 3°

Atau

c) Ketika matahari terbenam umur bulan tidak kurang daripada 8 jam.

6. ASAS PERTIMBANGAN KEPUTUSAN PERLU DI KEKALKAN.

6.1) Kaedah penetapan Hari Raya Korban mengikut kaedah Hisab dan Rukyah berdasarkan imkanurrukyah sama seperti penetapan awal bulan Ramadhan dan Syawal adalah lebih sesuai untuk diamalkan di Malaysia.

6.2) Bedasarkan keputusan Majlis Raja-Raja Malaysia dan persetujuan Mufti seluruh negeri-negeri di Malaysia bagi penetapan awal Zulhijjah seperti penetapan awal Ramadhan dan awal Syawal dengan melihat anak bulan di tempat rasmi seluruh Malaysia.

6.3) Perbezaan zon masa di antara Malaysia dan Arab Saudi adalah jauh selama (5) lima jam berdasarkan GMT Malaysia (8) lapan jam manakala Arab Saudi (3) tiga jam.

7. PENUTUP

Amalan Umat Islam di Malaysia menetapkan awal Zulhijjah dikekalkan dengan rukyah dan Hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah adalah bertujuan untuk di selaraskan dengan keputusan negara jiran tetangga iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

Keputusan ini perlu dikelalkan untuk tujuan keharmonian bagi sesebuah negara dan tidak perlu mengikut pengisytiharan wukuf Arafah oleh kerajaan Arab Saudi. Hukum ibadah puasa yang dilakukan tiada terjejas dan ia melibatkan perkara sunat yang perlu kepada pemahaman terhadap ibadat tersebut. Semoga dengan risalah kecil ini akan memberi pendedahan kepada masyarakat agar tidak timbul kekeliruan tentang amalan yang digunakan di Malaysia pada masa sekarang dan yang akan datang. Wallahua'lam.

Disediakan oleh:
Bahagian Falak Syarie,
Jabatan Mufti Negeri Selangor.

HUKUM BERKAITAN AIDIL ADHA

Solat Sunat Aidil Adha:

Menunaikan solat sunat Aidil Adha adalah sunat muakkad berdasarkan perbuatan nabi Muhammad SAW danFirman Allah S.W.T yang berbunyi :

فصل لربك وانحر

Maksudnya:"Maka laksanakanlah solat kerana tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri dengan Allah)".

Disyariatkan kepada kita untuk menunaikan solat sunat AidilAdha secara berjamaah ataupun berseorangan samaada yang bermukim mahupun yang bermusafir, merdeka atau pun hamba, lelaki ataupun perempuan ataupun khunsa. Tetapi solat Aidil Adha secara berjamaah itu lebih afdhal daripada solat bersendirian melainkan keatas orang yang melakukan ibadah haji.

WAKTU
Waktu menunaikan solat sunat Aidil Adha adalah diantara matahari terbit sehinggalah tergelincirnya matahari. Lebih afdal sekiranya solat sunat Aidil Adha tersebut dilaksanakan dengan segera selepas terbitnya matahari untuk memanjangkan waktu sembelihan korban.

CARA-CARA PELAKSANAAN :

Rakaat pertama :
1) Dimulai dengan takbiratul ihram, membaca doa iftitah kemudian takbir selepasnya sebanyak 7 kali takbir yang diselangi dengan bacaan “Subhanallahwalhamdulillahwalailahaillallahwallahuakbar".

2) Disunatkan juga untuk membaca surah“ق”ataupun surah “الأعلى”selepas bacaan surah الفاتحة pada rakaat pertama tersebut.

Rakaat kedua :
1) Selepas takbir intiqalat pada rakaat yang kedua, hendaklah disusuli dengan takbir sebanyak 5 kali dan baca antara takbir adalah sama seperti pada rakaat pertama.
2) Disunatkan membaca surah“ اقترب ”ataupun“الغاشية ”selepas bacaan surah الفاتحة .
Disunatkan keatas kita melakukan 2 khutbah selepas solat Aidil Adha yang membahaskan mengenai hokum korban (Udhiyyah).

Sunat-Sunat Aidil Adha:
1) Menghidupkan malam hari raya dengan zikir, doa, solat, bacaan Quran dan sebagainya berdasarkan Hadith nabi Muhammad S.A.W yang berbunyi :

من أحيا ليلة العبد, أحيا الله قلبه يوم تموت القلوب

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengidupkanmalamhariraya, Allah S.W.T akan menghidupkan hatinya pada hari matinya hati orang yang lain”.
Menghidupkan malam hari raya juga terhasil dengan melaksanakan solat Isya’ dan solat subuh secara berjamaah.
2) Disunatkan mandi malam raya bermula sepertiga malam.
3) Memakai baju yang paling cantik walaupun bukan bewarna putih.
4) Memakai wangi-wangian.
5) Keluar dari rumah untuk menuju ke masjid menggunakan jalan yang lebih jauh daripada jalan pulang ke rumah ( kerana pahala untuk pergi menunaikan ibadah lebih banyak berbanding pulang dari melakukan ibadah).
6) Tidak makan sesuatu sebelum menunaikan solat sunat Aidil Adha.
7) Sunat melaungkan takbir bermula waktu subuh hari Arafah sehingga terbenamnya matahari pada hari tasyrik yang terakhir (13 Zulhijjah).
Takbir Hari Raya Haji Terbahagi Kepada Dua :
1) مرسل :
Takbir ini hanya dilakukan selain daripada selepas solat, samaada di rumah ataupun dipasar ataupun dijalanraya ataupun dimana-mana sahaja. Ia bermula daripada terbenamnya matahari 9 Zulhijjah sehingga takbiratulihram solat sunat Aidil Adha.Takbir ini boleh dilakukan dalam apa pun keadaan samaada berdiri, duduk, berbaring, ataupun berjalan.

2) المقيد :
Takbir ini hanya dilakukan selepas selesai menunaikan solat iaitu sebelum melakukan wirid dan zikir yang lain. Ia hanya dikhususkan kepada hari raya adha. Takbir ini dilakukan selepas solat fardhu atau pun solat sunat atau pun qada ataupun solat jenazah. Bermula daripada waktu subuh hari Arafah sehingga hari tasyrik terakhir (13 Zulhijjah). Tetapi bagi orang yang melaksanakan ibadah haji ,waktu takbir mereka bermula selepas zohor hari raya yang pertama (10 Zulhijjah).


Disunatkan bagi lelaki melaungkan takbir dengan kuat untuk mezahirkan syiar hari raya. Adapun selain daripada lelaki (perempuan ) tidak boleh menguatkan lafaz takbir melainkan lafaz tersebut disisi mahram mereka kerana diqiaskan kepada masalah suara perempuan didalam solat.

Lafaz takbir yang disunatkan adalah seperti berikut:
الله أكبرالله أكبر الله أكبر
لا إله إلا الله والله أكبر, ألله أكبر ولله الحمد
Dan ditambah lafaz yang lain oleh Imam Syafie dalam kitab"الأم " berdasarkan kepada perbuatan Nabi yang pernah menyebut lafaz ini di Mina:



ألله أكبر كبيرا ً, والحمد لله كثيرا ً, وسبحان الله بكرة وأصيلا ً
لا إله إلا الله, ولا نعبد إلا إياه, مخلصين له الدين ولو كره الكافرون
لا إله إلا الله وحده, صدق وعده, ونصر عبده,وأعز جنده وهزم اللأحزاب وحده
لا إله إلا الله, والله أكبر
Rujukan:
الجواهر النقية-
الإقناع-
حاشية البيجوري-
مواهب الديان شرح فتح الرحمان-
حاشية الشرقاوي-
شرح الياقوت النفيس-

Disediakan oleh :
MOHAMAD SARKAWI BIN MOHAMAD SALLEH
Felo MANHAL PMRAM

http://pmram-manhal.blogspot.com/2010/11/hukum-berkaitan-aidil-adha.html

Tuesday, November 2, 2010

Kekang nafsu 'gelap'

Oleh : Ust.Zaharuddin Abd Rahman

BAGAIMANA cara menghentikan ketagihan terhadap nafsu dalam diri termasuk nafsu amarah, seks serta yang membawa kepada kemungkaran buat selama-selamanya dan bagaimana pula untuk dapatkan taubat sebenar-benarnya.

Sifat nafsu amarah memang sentiasa mengajak kepada dosa, di mana kegagalan mengawal nafsu syahwat bagi majoriti manusia adalah satu lumrah.

Bagaimanapun, dalam kehidupan ada segelintir yang mampu mengekang nafsu mereka hasil ‘mujahadah’ atau usaha kuat untuk menghindari, sekali gus menghentikannya. Namun, ada kalanya mereka yang mampu mengawal juga tertewas.

Allah SWT menyebut perihal kegagalan manusia dalam mengekang nafsu, sebagai contoh dalam surah Al-Baqarah, ayat 187 yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu.”

Melalui ayat ini, sebahagian umat Islam gagal mengikat nafsu syahwat kelaminnya hingga ‘bersama’ isterinya di siang Ramadan.

Dengan segala kelemahan manusia, Allah SWT membenarkan suami isteri untuk bersama di malam hari Ramadan, namun masih ada juga yang ‘terlepas’ melakukannya di siang hari, oleh itu Islam menetapkan cara dendanya.

Kifarah adalah satu bentuk denda dan apabila seseorang melakukan dosa, taubat adalah jalannya.

Allah SWT menegaskan bahawasanya: “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi Rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf, 53)

Persoalan yang timbul ialah, bagaimana mengekang nafsu yang ada dalam diri.
Ringkasnya, saya ingin mengingatkan individu yang menulis soalan ini bahawa mengekang dan melawan kehendak nafsu syahwat sememangnya bukan mudah.

Itulah sifat ‘peperiksaan’ yang diberi oleh Allah SWT bagi ‘menapis’ dan mengenal pasti hamba-Nya yang bersungguh-sungguh, ikhlas dan beriman serta yang kurang dan tidak beriman. Bagi yang berjaya, ganjarannya sudah tentu sangat hebat, yakni di Syurga Allah SWT.

Justeru, kita tidak perlu mengeluh dan hairan dengan ketagihan nafsu, kedegilannya, kesukaran menanganinya dan mengawalnya.

Sebaliknya, yang perlu dilakukan adalah mengukuhkan azam untuk berubah. Ia sukar untuk diajar melalui tulisan, tetapi kesedaran dan keinginan inilah yang perlu untuk bertindak.

Caranya, kenali sumber serta punca yang mampu membiakkan ‘kekuatan’ terhadap nafsu itu, dan sebaik dikenal pasti, potong dan hapuskan ia.

Selain itu, kita perlu tahu cara, suasana, tempat dan berdamping dengan individu yang dapat menarik diri kita kepada kebaikan dan lupakan syahwat.

Kesimpulannya, proses ini memang memerlukan ‘pantang larang’ yang merujuk kepada perkara yang tidak boleh dibuat dan ‘kemestian’ yang merujuk kepada perkara yang perlu dibuat.

Ia proses ‘Sunnatullah’ untuk segala jenis penyembuhan, sama ada hati dan iman berbentuk spiritual dan juga tubuh fizikal.

Ini sama seperti menangani penyakit kencing manis daripada sudut konsepnya, di mana mereka perlu menghadapi cabaran mengawal nafsu makan yang tinggi dan terhalang daripada menikmati juadah lazat.

Jadi jelas di sini, pantang larang ini perlu dilakukan secara terpaksa itulah satu mujahadah (usaha).

Oleh itu, cuba fikirkan, bagaimana pantang larang ini akhirnya mampu dipupuk serta diikuti dan itulah satu jalan permulaan untuk mengawal nafsu dalam diri.

Ini sama bagi mengekang nafsu syahwat seks ‘gelap’, di mana setiap umat Islam perlu meyakini bahawa setiap perbuatan itu kelak pasti diazab oleh Allah SWT dengan mengingatkan bahawa adanya azab neraka, azab kubur, mati dalam kehinaan (suul khatimah) atau dalam kemaksiatan, tidak memperoleh Rahmat Allah atau tiada peruntukan syafaat daripada Rasulullah SAW.

Memang benar, implikasi buruk ini semuanya berupa hal ghaib, namun bukan itu saja, ada banyak pula implikasi buruk di dunia yang mesti disenaraikan di dalam minda dan hati seperti, ia mungkin membawa kepada perceraian, pasangan zina mengandung anak luar nikah yang akhirnya boleh membawa kepada pembunuhan terhadap anak luar nikah berkenaan bagi menutup aib, kejian masyarakat atau dijangkiti penyakit kelamin seperti AIDS.

Disebabkan itu, tanam semua implikasi berbentuk spiritual itu dalam minda dengan harapan ‘nyalaan’ nafsu itu tadi dapat ditangani.

Sehubungan itu, tentu proses pertama untuk mengekang nafsu syahwat seks ‘gelap’ adalah dengan meningkatkan ilmu dan keyakinan terhadap kedua-dua ilmu, ghaib dan fizikal, iaitu kesan buruknya.

Insya-Allah, ia akan mampu menjadi pendinding awal sebelum berlakunya dosa dorongan syahwat nafsu itu.

Orang berilmu juga ramai yang menyeleweng?
Tidak dinafikan, ramai juga yang sudah punyai ilmu tetapi masih ‘jatuh’ dan terlanjur melakukan maksiat sama ada secara serius atau tidak, besar atau kecil.

Tatkala itu, datanglah fungsi taubat yang disebut oleh Allah SWT di atas.

Berbekalkan kefahaman dan asas yang sudah ada, usaha mengukuh dan menyuburkan kembali keimanan lebih mudah daripada individu yang tiada asas dan pasak kukuh.

Kerana itu, binalah pasak dalam diri mengenai iman dan ilmu dengan segera terlebih dulu kerana tanpanya, perubahan kepada kebaikan akan terbantut di suku perjalanan.

Sebagai kesimpulan, sebagai tambahan kepada penjelasan di atas, ada perlu mengetahui perkara yang perlu serta tidak perlu dilakukan seperti:

# Fikirkan sasaran kehidupan dan berusaha melaksanakannya. Jauhkan pemikiran berkenaan seks dan penuhkan masa dengan berusaha mencapai sasaran itu.
# Wujudkan keyakinan bahawa Allah SWT melihat apa yang dilakukan di ketika ramai mahupun kala sendirian.
# Sedarkan diri bahawa malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang dilakukan.
# Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.
# Putuskan hubungan ‘songsang’ dan ‘gelap’ sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperoleh melalui Internet atau fizikal, melalui laman sembang, e-mel, web dan sebagainya. Jika berseorangan di depan komputer boleh menyebabkan pemikiran syahwat naik, elak berseorangan di depan komputer.

Jika berbual mesra dan makan tengah hari bersama rakan sekerja lain jantina itu puncanya, elak melakukannya dan makan sendirian atau bersama jantina yang sama.

# Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.
# Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan keagamaan kerana dengannya, ia membuka ruang mendapat rakan yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat dapat dibendung.
# Ziarah kubur secara kerap supaya syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian.
# Kalau komputer dan Internet kerap menjadi punca peningkatan syahwat, banyakkan mendengar bacaan al-Quran di depan komputer. Insya-Allah, dengannya rasa malu akan timbul. Namun jika syahwat masih ‘menggila,’ segera berhenti dan lihatlah awan, langit, pokok dan laut dan ingatkan kebesaran Allah.
# Memastikan harta diperoleh daripada sumber halal kerana sumber haram menambah perisa syahwat kepada yang lebih kuat dan dahsyat. Ia ibarat mutasi virus yang lebih berbahaya kepada kesihatan.
# Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisiplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa sebanyak mungkin ketika sujud di dalam solat supaya diberi kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.
# Segera beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat berat sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Imran, bahawasanya: “... dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertakwa.”

Artikel dari : Hmetro.com.my

Jaamiah Al-Azhar As-Syarif


Copy this code to your website to display this banner!