TIDAK dinafikan bahawa manusia yang menjalani kehidupan di muka bumi Allah ini tidak terlepas daripada dosa, sama ada dosa kecil atau besar. Sebab itulah kita lihat pelbagai perlakuan kejahatan dan maksiat yang menjadi larangan Allah SWT terus menerus berlaku di sekeliling kita.
Walaupun menurut al-Quran, sifat semula jadi manusia sememangnya lemah dan mudah tunduk kepada keinginan hawa nafsu, ia bukanlah alasan untuk membolehkan manusia berbuat dosa. Orang beriman wajib mematuhi segala perintah Allah dan Rasul-Nya, sentiasa berjuang melawan hawa nafsu serta berusaha menghindari segala perbuatan dosa dan maksiat.
Al-Quran banyak menjelaskan bahawa orang yang melakukan perbuatan dosa dan maksiat sentiasa dalam kemurkaan Allah dan akan ditimpa azab seksa Allah di akhirat nanti. Ini wajar kerana orang beriman tidak sepatutnya melakukan segala perlakuan yang menjadi larangan Allah SWT.
Menurut Imam al-Ghazali, berlakunya perbuatan dosa kerana didorong oleh empat faktor iaitu:
# Sifat Rububiyyah (sifat ketuhanan)
Apabila seseorang itu mengambil atau memakai sifat-sifat Tuhan seperti takabbur, sukakan pujian dan sanjungan. Pada hal sifat-sifat itu hanya layak bagi Allah SWT.
# Sifat Syaitaniyyah (sifat syaitan)
Apabila wujud dalam diri seseorang sifat seperti hasad dengki, tipu helah dan sebagainya, kerana sifat ini boleh mendorong kepada perbuatan mungkar, maksiat dan seumpamanya. Nabi Adam AS dikeluarkan dari syurga disebabkan tipu helah iblis atau syaitan.
# Sifat Bahimiyyah (sifat kehaiwanan)
Seperti tamak haloba, memperturutkan hawa nafsu perut, menimbun harta kekayaan untuk kepuasan nafsu semata-mata dan sebagainya.
# Sifat-sifat Subu'iyyah (sifat kebuasan)
Seperti marah, dendam, membunuh, memukul, mencaci maki orang dan seumpamanya.
Semua sifat berkenaan adalah punca dan pendorong ke arah perlakuan dosa dan maksiat. Apabila ia dibiarkan bermaharajalela, maka akan rosak binasalah manusia. Dosa itu ibarat racun dalam tubuh manusia yang akan meresap ke seluruh tubuh badan dan boleh membawa maut jika tidak diubati dengan segera.
Demikian halnya dengan dosa, jika tidak segera bertaubat kepada Allah, pasti ia akan merebak dan membahayakan keimanan serta keselamatan, bahkan akan menerima azab Allah di akhirat.
Perlu diinsafi bahawa perkara dosa bukanlah suatu hal yang boleh dipandang ringan. Sebaliknya memerlukan kita sentiasa berwaspada dalam setiap tindak-tanduk kita, sama ada dari segi perbuatan mahupun percakapan. Jangan sampai apa yang dilakukan menjadi dosa dan maksiat yang akan menempah azab Allah di akhirat.
Seluruh masa kehidupan dunia yang singkat ini sebenarnya kesempatan emas bagi manusia untuk berbuat kebaikan sebanyak mungkin sebelum ajal menjemput. Janganlah seseorang berasa aman kerana terlepas hukuman di dunia lantaran berbuat dosa, kerana hukuman itu tetap menanti dan akan diterimanya di akhirat.
Banyakkan istighfar dan bertaubat kepada Allah, persiapkan bekalan berupa amal salih kerana hanya amal dapat menyelamatkan manusia di padang mahsyar nanti.
Allah berfirman bermaksud: “Ingatlah hari Kami himpunkan orang yang bertakwa untuk menghadap Allah ar-Rahman dengan berpasukan-pasukan. Dan Kami akan menghalau orang yang bersalah ke neraka jahanam dalam keadaan dahaga. Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian dengan iman dan amal salih di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya” (Maryam :85-87).
No comments:
Post a Comment